Pengasuh mengaku tak bersalah sebabkan kecederaan pada bayi


Pengasuh mengaku tak bersalah sebabkan kecederaan pada bayi

BUTTERWORTH: Seorang pengasuh wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas  bayi lelaki berusia 10 bulan, 20 Ogos lalu.

Tertuduh, Mas Haini Mohd Zaini, 33 bagaimanapun mengaku tidak  bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan  Majistret Che Rohana Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Muhammad Ayden Luth Mohd Idris dengan cara mencubit bahagian dada dan perut bayi itu menggunakan tangan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu  di ruang tamu sebuah rumah di Taman Sri Serdang, Kepala Batas, pada jam 9.30 pagi,  20 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Aziah Hasan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Nor Aziah  memohon mahkamah mengenakan  jaminan sebanyak RM6,000 ke atas tertuduh.

Che Rohana kemudiannya menetapkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan  menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan gara-gara geram bayi asuhannya yang tidak berhenti menangis, seorang pengasuh bertindak mencubit bayi berusia 10 bulan itu dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Seri Serdang, minggu lalu.

Ketika kejadian, anak lelaki wanita itu yang berusia empat tahun dipercayai turut  melihat perbuatan dera ibunya itu.

Ibu mangsa bertindak membuat laporan polis selepas doktor yang membuat pemeriksaan mendapati wujud kesan penderaan terhadap bayi terbabit.

Loading...
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==