“Ya, Saya Ibu yang Garang dan Shidi Pula Lebih Cool” — Ini Cara VANIDAH IMRAN Mendidik Anak-anaknya


Oleh: Huda Hussain

Siapa yang tidak merindui wajah nan satu ini di layar perak mahupun skrin televisyen? Pasti semua ternanti- nanti kemunculannya membawakan apa jua watak. Isteri mithali, ibu penyayang dan berilah peranan apa sekalipun pasti disudahkan sesempurna mungkin.

MELIHAT raut wajahnya cukup ayu dan tersirat kelembutan. Tetapi apabila berbicara mengenai isu Hari Ibu dan kala InTrend mengupas bagaimana cara didikannya membesarkan Mikail Aimran dan Maryam Rashika, dia tegas dalam pendirian ini. “Ya, saya ibu yang garang.”

Masih terngiang-ngiang di telinga kala melakukan sesi temu bual di telefon bersama selebriti terkenal, Vanidah Imran kala ditanya mengenai didikan terhadap anak-anaknya. Mementingkan disiplin dan kala usia anak-anak masih kecil; Vanidah yang menggelarkan dirinya sebagai ibu masih menerapkan konsep amalan ibu-ibu zaman dahulu dalam soal mendisiplinkan anak-anak.

Baginya memanjakan anak dan berkongsi limpahan kasih sayang harus ada garis sempadan. malah mengakui membesarkan anak-anak pada zaman milennial ini bukan calang-calang sukarnya.

Semuanya perlu diselarikan dengan pendekatan yang bisa mengetuk pintu hati dan membuka minda serta jiwa anak-anak yang bakal melangkah ke peringkat dewasa. Ikuti apa kata Vanidah mengenai paparan tema sempena meraikan Hari Ibu edisi ini 
   

Vanidah Imran:

Perasaan kali pertama bergelar ibu kira-kira 17 tahun lalu, boleh imbas semula momen itu bersama InTrend?

Sudah tentulah gembira dan teruja. Ibu, makcik-makcik dan rakan-rakan terdekat sudah bercerita, memberi nasihat dan panduan ketika itu tentang jangkaan dan segala kemungkinan yang bakal saya lalui.

Malah daripada segi pemikiran, saya sudah bersedia bergelar ibu. Pendek katanya, saya punya sistem sokongan yang kuat ketika itu.

Dalam kalangan rakan-rakan pula, ada yang sudi dan sedia membantu jika saya menelefon mereka memerlukan bantuan atau apa jua.

Bagaimana pula berhadapan dengan cabaran membesarkan anak lelaki dan perempuan, ada bezanya mungkin?

Saya tidak pasti bagaimana pendekatan ibu-ibu lain. Tetapi berdasarkan pengalaman saya mempunyai anak lelaki dan perempuan, mendidik anak lelaki dan perempuan banyak bezanya.

Mungkin tidak sama sepenuhnya, tetapi berdasarkan pemerhatian saya rata-ratanya hampir sama sahaja. Anak lelaki lebih playfull, sukar memberi tumpuan dan ambil mudah. Manakala anak perempuan lebih fokus dan matang.

Anak lelaki matang juga tetapi lewat sedikit. Seperti anak perempuan saya (Maryam Rashika) jika punya waktu lapang, dia akan membaca buku dan suka membaca.

Berbeza dengan anak lelaki saya (Mikail Aimran), masa lapangnya diisi dengan hmmm... bermain game, YouTube.


Setuju atau tidak jika dikatakan tiada acuan khusus yang boleh diikut untuk mendidik anak kerana lain orang lain caranya bukan? Boleh ulas dengan lebih lanjut mengenai situasi ini?

Ya, betul. Kita boleh mendengar dan mengambil sesuatu sebagai input. Saya membesarkan anak-anak seperti mana cara saya dibesarkan oleh ibu bapa saya dahulu. Ya, saya ikut cara orang lama.

Tetapi saya sulamkan dengan pendekatan yang moden untuk disesuaikan dengan peredaran zaman. Apatah lagi dengan dunia media sosial hari ini, ilmu pengetahuan mereka lebih ke hadapan.

Bukan seperti zaman kita atau zaman ibu bapa kita dahulu. Jika dahulu tidak bermakna tidak. Tetapi kini, tidak bermakna mengapa? Mereka mahukan penjelasan dan sebagai ibu kita perlu bersedia untuk menjawab.

Justeru saya mengambil pendekatan secara pertengahan. Lazimi dengan bercerita dan memberikan contoh supaya mereka lebih faham. Namun ketegasannya masih ada.

Jika tidak keberatan boleh huraikan dengan lebih terperinci bagaimana cara Vanidah mendidik anak ketika usia kecil mereka?

Jika mereka buat perangai di rumah orang misalnya, jika terlompat-lompat, terkinja-kinja siap sedialah. Jari-jemari saya laju sahaja singgah di paha. Tidak kurang juga saya berdecit, mereka akan memandang semula ke arah saya lalu saya jegilkan mata, mereka akan duduk diam.

Oh, saya tak bolehlah kalau anak-anak tak duduk diam di rumah orang, guling-guling atas lantai di kompleks membeli-belah. Anak Vanidah Imran buat perangai macam tu? Nak tengok maknya naik hantu?

Hahaha... Kala mereka tantrum di shopping mall misalnya, saya akan angkat dan laju sahaja saya akan mencubit paha mereka. Dan sambil mencubit, saya akan ketapkan gigi seraya berkata, “Nak ibu cubit lagi ke?” Benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Semua perlu dilakukan ketika mereka masih kecil lagi. Biarpun perkara-perkara biasa seperti menghulurkan tangan dan bersalaman dengan orang, tunduk jika berjalan di hadapan orang itu saya tetap titikberatkan.


Antara Vanidah dan suami, siapa lebih tegas dan dominan dalam mendidik anak-anak?

Rata- rata ibu bersifat pendidik. Tetapi ayah lebih kepada perkara yang ekstrim atau yang lebih serius. Misalnya saya sering ingatkan anak-anak, “Jangan sampai ibu beritahu abah okey!” Shidi lebih cool dan saya akan meminta bantuan jika tidak mampu menangani sesuatu isu, contohnya, “Yang, tolong Yang. Tak nak dengar cakap budak-budak ni.” Dan di situ abahnya pula akan ambil alih.

Bagaimana pula pendekatan yang digunakan apabila anak meniti usia remaja, apa peranan Vanidah terhadap mereka?

Saya banyak bercakap dengan mereka. Masih marah tetapi tidaklah terlalu ketara berbanding ketika mereka masih kecil dahulu. Tidaklah menjerit-jerit, lebih kepada menasihati mereka.

Misalnya, “Ibu dah tak larat nak marah-marah, membebel. Tak menyampah ke dengar ibu membebel? Ibu sendiri rasa menyampah dengar suara ibu sendiri,” dengan nada suara seperti merayu.

Secara tidak langsung pendekatannya kini lebih secara halus tetapi berbekas dan biarlah terkesan dalam ingatan mereka. 


Loading...
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==